Isnin, 7 Februari 2011

Gog Dan Magog Di Kurung Di Sebalik Tembok Rahsia

Di sebalik pembinaan kota besar hasil dari kemajuan pembangunan dan pemodenan yang telah melanda hampir seluruh pelusuk dunia waktu ini, masih terdapat satu kawasan rahsia di muka bumi ini yang menyimpan ribuan makhluk misteri.

Sehingga kini, penerokaan demi penerokaan di seluruh kawasan bumi masih belum menemui wilayah asing itu sekaligus menyebabkan kewujudan mereka masih lagi belum terungkai oleh pengkaji dan manusia.

Kewujudan makhluk asing itu wujud dan satu hari nanti mereka akan muncul juga dihadapan manusia. akan tetapi, bila makhluk itu muncul, sudah terlambat bagi manusia utnuk berbuat apa-apa.

Tiada lagi kajian mengenai sejarah kewujudan atau penyelidikan sains dilakukan ke atas makhluk itu seperti penemuan artifak atau spesis baru ketika ini kerana sewaktu kemunculannya makhluk yang di kenali sebagai Yakjuj dan Makjuj itu, dunia sudah hampir dengan hari kiamat.

Sejak dikurugn ribuan tahun lalu, kewujudan dan lokasi 'pusat tahanan' Yakjuj Makjuj masih menjadi tanda tanya dan misteri kepada manusia.

Bagaimanapun, kewujudan 2 makhluk itu pasti lantaran ia dinyatakan dalam Al-Quran serta tergolong dalam perkara ghaib yang wajib diimani manusia menerusi tanda-tanda besar berlakunya kiamat.

ALLAH S.W.T berfirman dalam surah al-Khafi :" Kemudian dia (Zulkarnain) menempuh satu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit suatu kaum yang hampir tidak mengerti perbicaraan.

"Mereka berkata : ' Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepada kamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?.

"Zulkarnain berkata : ' Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan peralatan), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi."

"Hingga apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnanin : 'Tiuplah (api itu)'. Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata : ' Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.

"Maka mereka tidak dapat mendakinya dan tidak dapat menlubanginya, Zulkarnain berkata : ' Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah sampai janji Tuhanku (kiamat), Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku adalah benar."

Dalam ayat surah an-Anbiyaa’ pula, Allah berfirman: “Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj; dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan sudah dekatlah kedatangan janji yang benar (kaimat) maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang kafir. (Mereka berkata): ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”

“Hadis riwayat Imam Ahmad pula menerangkan ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj yang antara lain bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah kebanyakan penduduk Asia Tengah.

“Ulama juga cenderung mengatakan Yakjuj dan Makjuj berasal dan dikurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran ayat ke-90 dari surah al-Khafi yang menyebut Zulkarnain sampai ‘di tempat terbit matahari’ iaitu timur dunia,” katanya.

Pendapat lain menambah yang Yakjuj dan Makjuj berkemungkinan berasal daripada bangsa Tartar dan Mongul manakala lokasi tahanan mereka adalah kawasan pergunungan luas Caucasus.

Beliau berkata, kebanyakan ulama menyatakan yang bangsa itu terus wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah SWT menerusi tembok dibina Zulkarnain itu.

Katanya, tugas bangsa itu setiap hari sejak ribuan tahun lalu adalah mengorek tembok itu untuk tembus ke dunia manusia tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali meneguhkan benteng berkenaan sehinggalah hampirnya hari kiamat.

“Allah akan mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj dan Makjuj bebas ke dunia manusia apabila hampirnya kiamat dan peristiwa itu menjadi satu daripada 10 tanda besar kiamat,” katanya.

Yakjuj dan Makjuj juga muncul selepas kematian Dajal yang dibunuh Nabi Isa AS dan bangsa itu akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan mereka dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa yang mampu menewaskan kumpulan itu.

“Nabi Isa AS memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj; baginda kemudian berdoa kepada Allah SWT dan Allah membinasakan mereka dengan mengutuskan ulat yang menyerang belakang badan golongan itu sehingga mati.

“Selepas bangsa Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk, Allah mengutuskan seekor burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat itu dari bumi,” katanya.

Menyoroti dalil kewujudan Yakjuj dan Makjuj, manusia seharusnya yakin mempertahankan akidah Islam dan tidak bertangguh memohon keampunan dan keredaan Allah kerana mereka yang masih lalai adalah golongan yang diterangkan dalam surah an-Anbiyaa’ di atas seperti firman-Nya: “(Mereka berkata): ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”

FAKTA
Yakjuj dan Makjuj

# Ketika kemunculannya, mereka dikatakan akan menuju ke sebuah tasik di Palestin dan akan minum air tasik itu sehingga kering.

# Memiliki zuriat yang ramai dan dikatakan tidak akan mati sehingga melahirkan lebih 1,000 zuriat.

# Tiada siapa mampu menewaskan mereka dan hanya binasa dengan kekuasaan Allah.

# Muncul selepas turunnya Nabi Isa AS dan Dajal.

# Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan kebimbangannya apabila pada zaman baginda, Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah berjaya menebuk benteng Zulkarnain sebesar bulatan dibentuk ibu jari dan jari telunjuk.

2 ulasan:

  1. zaman Nabi SAW dah ade lubang kat benteng tu, agak2 skrg besar mn agaknya ya..

    BalasPadam
  2. jue : betul tue...zaman Rasulullah SAW lubangnyer da sebesar ibu jari...sekarang tidak mengetahui pula sudah sebesar mane...huhuhu

    BalasPadam